Pages

Wednesday, 10 April 2013

Takdir Telah Tertulis dan Rahsia..



Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman. Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan. Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan. Hati mana tidak berbunga harapan.

Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan. Namun, tidak terduga tangan yang sedang berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian. Dicantas tegahan dan mundur segala keriangan.

Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan, kehendakmu ditentang tiada sokongan, pertemuan kian di jemput perpisahan, sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya perasaan. Namun, kita harus percaya pada takdir dan ketentuan. Setiap segala yang berlaku diluar perancangan kita, barulah kita sedar bahawa ada kuasa yang maha Agung telah mengaturkan semuanya.

Takdirku telah tertulis. Jika sesuatu ditakdir menjadi milik kita, berbekal usaha yang sedikit cuma, sudah mampu diraih dengan mudah. Namun, jika sesuatu itu bukanlah ditakdirkan menjadi milik kita, perancangan paling mega yang kita cetuskan pun tidak mampu menandingi takdir Ilahi, sudah pasti kita tidak akan bisa memilikinya.

Segala yang ada di dunia ini adalah hak Allah. kerajaanNya luas meliputi alam raya, angkasa dan segala-galanya adalah milik Allah. Dan apa yang Allah kurniakan kepada kita, itulah rezeki kita jua dariNya. Bersyukurlah. Jangan di tangisi apa yang bukan menjadi milik kita. Allah tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki yang lain. Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar tentunya ada anugerah dariNya buat kita.

Ibnu Atoillah : “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Terkadang cinta yang menginap di hati manusia jua suatu ujian. Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan dari mendapatkannya. Makanya, kita teruji dan mendepani hari-hari suram. Cubalah sedaya upaya untuk menepis setiap godaan. Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita. Begitu jua lah sebaliknya.

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”


Memilih untuk Menerima

Terimalah orang yang memang sudah dipilihkan Allah untuk kita, Terima apa yang menjadi kekurangannya, sebagaimana kita menerima setiap kelebihannya.

Nikmatilah setiap proses mengenal peribadi, mengukuhkan setiap persamaan dan mencari titik temu dalam setiap perbezaan. Manusia bukan batu keras dan susah berubah. Manusia boleh berubah sesuai dengan proses yang membentuknya untuk berubah.Berilah kesempatan bagi orang yang kita terima untuk menyesuaikan diri. Jangan cepat bosan atau cepat menilai bahawa proses itu gagal. Tetapi cubalah berfikir tenang bahawa proses ini memerlukan kesabaran.

Memilih Untuk Menolak 

Kuasa memilih memang ditangan pihak lelaki. Tetapi kuasa menolak adalah berada ditangan perempuan, Maka tolaklah dengan sopan, tidak kasar, dan lembut. Berilah alasan yang tidak mengusutkan tetapi mudah diterima oleh akal sihat. Sikap tegas adalah berbeza dengan dengan sikap kasar. Tegas tidak harus kasar.


Hidup adalah pilihan. Maka pandai – pandailah memilih. Memilih cinta untuk ditekuni, memilih hati untuk direngkuh dan memilih kebersamaan yang melahirkan kesempatan berbagai. Bila memang cinta itu dilarang bagi kita, maka lebih baik tinggalkan dan pilih yang benar. Meskipun ia pernah ada, tetapi ia tidak selalu harus bersama kita. InshaAllah…yakini bahawa Allah lah sebaik-baik pengatur kehidupan insan.

No comments:

Post a Comment