Pages

Tuesday, 20 November 2012

Kiranya ini pesan ayah ku bila ...




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anakku,
Kau baru saja diijabkabulkan.
Kini kau telah menjadi isteri kepada suamimu,
Terlepas satu beban yang berat pernah ayah tanggung.
Kini tanggungjawab ayah telah berpindah kepadanya.

Anakku,
Ingatlah pesan ayah,
Kau akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan,
kepada tempat tidur yang engkau tidak kenal,
rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya.

Dialah suamimu, teman hidup yang akan bersamamu ketika susah dan senang.
Jagalah akhlak dan peribadimu.
Ingatlah adab-adab yang pernah ayah ajarkan kepadamu.
Janganlah kau bebankan suamimu dengan dosa-dosa yang kau cipta sendiri.

Bila keluar rumah jagalah auratmu, jangan berhias untuk orang lain.
Jagalah akhlakmu dan mintalah izin suamimu sebelum melangah keluar rumah.
Ketika dirumah, jagalah telinga, mata dan hidungnya...
Jangalah kau membiarkan dia mendengar sesuatu daripadamu melainkan yang baik,
janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripadamu melainkan yang cantik,
dan janganlah membiarkan dia mencium sesuatu daripadamu melainkan yang harum belaka.

Anakku,
Jadilah engkau wanita solehah yang akan menjadi perhiasan dunia yang terbaik.
Jika kau jaga empat perkara kau berpeluang memasuki mana-mana pintu syurga yang kau kehendaki.
Jagalah solatmu, puasamu, akhlakmu dan mentaati suamimu.

Anakku,
Sentiasalah kau menjaga iman dan takwamu dan membuangkan segala sifat-sifat keji yang ada di dalam hatimu.

Ingatlah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.
Sentiasalah kau jaga dirimu dari perbuatan keji dan hina.
Berhati-hatilah di dalam percakapan dan pergaulanmu supaya terhindar daripada kemurkaan Allah.
Jagalah lidahmu daripada mengumpat, memfitnah dan berkata dusta.
Banyakkan bersabar jika berlaku perselisihan di dalam keluargamu.
Sentiasalah kau melakukan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah.


Anakku,
Allah tak pandang pada rupa zahirmu,
tetapi Allah pandang apa yang ada pada hatimu.
Kecantikan yang hakiki adalah terletak dihati, jiwa, akhlak dan akalmu.
Cantik pada hatimu bila hatimu reda dan berbaik sangka kepada Allah dan tidak tamakkan harta dunia.
Cantik pada jiwamu bila jiwamu kasih pada suamimu, anak-anakmu, anak yatim dan orang miskin.
Cantik pada akhlakmu bila sentiasa menutup aurat dan menjaga pergaulan sesama muslim.
Cantik pada akalmu bila akalmu suka menuntut ilmu dan mengutamakan matlamat ukhrawi lebih daripada matlamat duniawi.

Anakku,
Janganlah kau bebankan suamimu dengan perkara yang dia tidak mampu.
Bersyukurlah di atas rezeki yang dibawa pulang oleh suamimu, berpada-padalah apa yang ada.
Jauhkan dirimu daripada bermewah-mewah dan membazir kerana sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan.


Ingat wahai anakku,
~ Syurga anak lelaki di bawah telapak kaki ibunya sedangkan syurga isteri di bawah telapak kaki suaminya.
~ Ramai wanita di neraka kerana mereka derhaka dan tidak bersyukur di atas rezeki suaminya.


Di hari yang berbahagia ini ayah doakan agar kau berbahagia bersama suamimu hingga bertemu di syurga.
Mendapat zuriat keturunan dan anak-anak yang soleh dan solehah, berbahagia di dunia dan akhirat.

Ayah teringat doa Nabi SAW dihari perkahwinan anak perempuannya Fatimah Azzahra dengan Saidina Ali bin Abi Talib :
“ Semoga Allah menghimpunkan yang terserak dari keduanya, memberkati mereka berdua dan kiranya Allah meningkatkan darjat keturunan mereka menjadi pembuka rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa aman bagi umat “

Ahkir kata ayah minta maaf padamu jika selama ayah mendidik dan membesarkanmu ayah melakukan kesalahan dan kesilapan dan tidak memberikan sepenuh kasih sayang padamu.
Diharap kau tidak menuntut diakhirat nanti kerana kelemahan ini.


Ayah tetap mendoakan kesejahteraanmu sekeluarga setiap kali lepas ayah mengerjakan solat In sha Allah..